Saturday 20 August 2011

Pandangan IKIM mengenai Berhutang

AGAK mengejutkan apabila Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada 2009. Mengapa berlaku? Apakah disebabkan pendapatan bulanan tidak mampu memenuhi keperluan hidup mereka?

Atau apakah disebabkan sikap individu yang tidak cukup dengan apa yang dimiliki sehingga sanggup membuat pinjaman di sana dan sini sekadar memenuhi kepuasan hidup? Pendedahan yang mengejutkan ini pastinya memberi imej yang buruk kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini.

Kita tidak boleh menuding jari kepada penjawat awam semata-mata dalam soal berhutang, kerana isu ini sudah menjadi gaya hidup masyarakat Islam hari ini yang kian meruncing. Sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat Islam semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja institusi kewangan yang menjadi sasaran untuk berhutang, malah ada segelintir tanpa segan silu sanggup berhutang dengan adik beradik, jiran tetangga, rakan sekerja dan ada yang sanggup berhutang dengan majikan kerana hendak memenuhi kepuasan hidup atau sekadar suka-suka.

Persoalannya mengapa mesti berhutang? Antara faktor seseorang itu terjebak dalam hutang adalah disebabkan sikap dan keinginan untuk memenuhi kehendak dan hawa nafsu. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang. Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan demi memenuhi kehendak, mereka sanggup berhutang untuk mendapatkan sesuatu benda material atau kebendaan dengan cepat dan pantas, walaupun hakikatnya tidak mampu berbuat demikian.

Di sini, sebenarnya perlu dilihat jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau keperluan dalam kehidupan maka tidak perlulah berhutang, kerana hanya akan menambah bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba'.

Selain sikap, keistimewaan kemudahan pinjaman yang mudah disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan turut menggalakkan individu ini terus berhutang. Cuba kita lihat syarat-syarat pinjaman peribadi di institusi-institusi kewangan. Sesetengah institusi kewangan hanya mensyaratkan satu hingga tiga bulan slip gaji tanpa perlu penjamin untuk permohonan mereka diproses. Malah tidak sampai seminggu proses kelulusan sudah boleh dapat. Begitu cepat sekali.

Kelonggaran pinjaman yang ditawarkan ini mendorong mereka membuat pinjaman walaupun perkara yang diingini itu bukan sesuatu yang mendesak tetapi cuma ingin mencuba atau sekadar suka-suka. Gara-gara berhutang boleh menyebabkan bebanan kewangan semakin bertambah, ini termasuk faedah yang dikenakan hampir dua atau tiga kali ganda jumlah hutang.

Akibat tidak tertanggung dek hutang yang semakin tinggi dan sukar membayar semula hutang terbabit, ia membawa pelbagai musibah seperti muflis atau bankrap.
Penyakit suka berhutang ini jika diamalkan akan mendatangkan kesan buruk kepada mereka seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi dan gagal melunaskannya. Begitu juga dengan jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman. Perasaan gelisah mula menghantui dek kerana bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi. Berkemungkinan juga mereka sanggup melakukan pelbagai perkara yang dilarang syarak seperti mencuri, merompak, merasuah dan sebagainya.

Turut sama dirasai akibat hutang ini adalah berlakunya tekanan emosi, kehilangan semangat untuk bekerja, menjejaskan prestasi kerja, kecelaruan fikiran, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT. Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya”.

Hadis ini menegaskan kepada umat Islam kepentingan membayar semula hutang dan perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Begitu juga hubungan mesra sesama adik beradik, jiran, rakan sekerja dan majikan turut menjadi renggang, malah ada yang tidak bercakap antara satu sama lain akibat hutang yang belum dijelaskan mengikut tempoh perjanjiannya. Bagi menjamin hubungan mesra dan berbaik semula sesama mereka, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si penghutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya.

Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu.

Justeru, dalam mengelak amalan berhutang ini, saya syorkan masyarakat agar berbelanja secara berhemah bukan mengikut kehendak dan hawa nafsu semata-mata. Sikap berbelanja melebihi pendapatan perlu dielakkan agar gaji bulanan yang diterima dapat diagihkan dalam simpanan dan dibelanjakan dengan betul dan sempurna.

Begitu juga pihak yang memberi hutang terutama institusi kewangan, perlulah mengetatkan lagi kemudahan pinjaman terutama kemudahan pinjaman peribadi. Syarat yang longgar akan menggalakkan masyarakat untuk terus berhutang.

Selain itu, sebagai umat Islam kita juga berperanan untuk tahu akan pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, dan kewajipan dalam membayar hutang. Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat atau ketika benar-benar terdesak, tetapi bukan untuk perkara tambahan dalam kehidupan seharian.

Sebagai kesimpulan, ditegaskan sekali lagi, apabila seseorang berhasrat untuk berhutang maka hendaklah ia berniat dalam hatinya untuk melangsaikan hutang tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan. Kegagalan melunaskan hutang mengikut tempoh yang diberikan boleh dikategorikan mereka tidak amanah dan boleh tergolong dalam golongan munafik.

Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah SWT akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan mempermudahkannya. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya.”

Jika tidak mampu hendaklah menggunakan tenaga orang tengah menggesanya supaya si peminjam membayar hutang itu. Jika tidak mampu juga, yang terlibat boleh mengambil tindakan mahkamah, kerana itu melibatkan haknya yang boleh dituntut di mahkamah, dan pihak yang berhutang hendaklah mematuhi keputusan mahkamah. Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai iman yang tinggi dan kuat, lalu memaafkan orang yang berhutang itu dan menghalalkannya sebelum orang yang berhutang itu meninggal dunia, ia akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah.

Cetusan rasa bimbang mantan Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid melihat amalan suka berhutang dalam masyarakat negara ini khususnya di kalangan orang Melayu.
Keadaan umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. Ia mungkin tidak pelik bagi yang tidak berkemampuan, tetapi menjadi kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Maka lahirlah ramai individu yang mampu membuat pembayaran secara tunai tetapi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi.

Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.
Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramai peminjam enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan syarikat mereka hingga ada yang lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.
Lebih buruk lagi, ada individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Sebagaimana sabda Rasulullah :

Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment