Saturday 20 August 2011

II. Berhutang Kerperluan tidak Mampu

1) Pinjaman Peribadi
2) Kad Kredit

1) Pinjaman Peribadi

Kita “pelanggan” akan berhutang disebabkan keperluan yang dijangka. Keperluan ini kadangkala adalah diluar kemampuan yang menyebabkan kita terpaksa membuat pinjaman peribadi atau memohon Kad Kredit.

Jika pinjaman dibuat dengan tujuan kebaikan seperti Melangsungkan Perkahwinan, biarpun tidak digalakkan, tetapi mengikut pandangan Islam Hukumnya Harus.

Jika pinjaman (Kad Kredit) dibuat dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk (riak) atau bersuka-suka diluar batasan, Hukumnya adalah Haram di sisi Islam.

Satu lagi “trend” berhutang yang baru ialah menunaikan Haji ke Baitullah. Sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan untuk menunaikan Rukun Islam ke Empat ini. Tetapi kita tidak dibenarkan berhutang untuk tujuan tersebut, malah kita diwajibkan menyelesaikan semua hutang sebelum menunaikan fardhu Haji.

Malangnya, ketidakfahaman umat Islam hari ini kepada Hukum agama menyebabkan mereka kerap melakukan  kesilapan biarpun tujuannya adalah untuk kebaikan.
Budaya Berhutang juga boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei.
Bagi mereka yang 'sesak' dihimpit bebanan kewangan pula, tawaran pinjaman peribadi ini mungkin dianggap sebagai penyelamat tanpa memikirkan kemudahan kewangan yang diperoleh itu sebenarnya adalah satu beban hutang.

2) Kad Kredit    
      
Takrif Kad Kredit

Manakala Takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) bagi Kad Kredit adalah : “Satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak diantara kedua-dua belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat2 dari semua pihak yang mengiktiraf penyatan sandaran (kad Kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segara), kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar.”

Menurut Kamus Oxford : Ia adalah satu kad yang dikeluarkan oleh Bank atau mana-mana pihak lain, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (Hutang)

HUKUM BERKAITAN DENGAN PENGGUNAAN KAD KREDIT

1. Kontrak dan Hubungan Antara Pengeluar, Pemegang dan Peniaga

Secara amnya, jenis kontrak yang dibuat antara pemegang kad, Pengeluar dan pihak ketiga adalah diktiraf di dalam Islam. Pandangan yang terkuat di dalam hal ini adalah hubungan Al-Kafalah (Jaminan). Dimana ‘Kafil’ (adalah Penjamin-Pengeluar Kad), ‘Makful’ (Yang dijamin- Pemegang Kad) dan ‘Makful lahu’ (Penjual). Semua ini adalah diiktiraf dan kontrak adalah sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian dibuat dengan kad ini, tiada lagi hak tuntutan pembayaran dari peniaga kepada pemegang kad, kerana ia telah terpindah kepada Pengeluar.
Maka tidak harus peniaga menuntutnya daripada Pemegang Kad. Demikian pandangan Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ibn Hazm dan Majoriti Fuqaha. Pandangan mereka adalah berdasarkan kefahaman terhadap tiga buah hadith Nabi yang diriwayatakn oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Ad-Dar Qutni dan lain lain. Justeru tulisan ini tidaklah ingin memanjangkan bicara tentangya.

2. Menggunakan Kad kredit Konvensional dalam tempoh dibenarkan

Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba.

3. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad

Hukumnya : HARUS - tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.

4. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar

Adakalanya pihak Bank atau pengeluar Kad akan meletakkan syarat dalam perjanjiannya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk peratusan yang akan di ambil dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law Relating to Credit Cards, London, 1989, ms 14)
Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.

Hukumnya : Harus - Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini dikira hadiah. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan lain lain ). Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah wakil (Ujrah Wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).

5. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)

Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim mereka. Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan.
Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap Ringgit Malaysia (RM) hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau diskaun di restoran-restoran dan lain lain. (Contoh: American Express Cards, an exclusive opportunity for a select few)
Hukumnya : berbeza menurut jenis hadiah; ia seperti berikut :-

a)            Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pd 1397 H, sebagai Haram kerana mengandungi unsur Riba, Gharar (ketidaktentuan), Jahalah(ketiadaan maklumat tepat semasa transaksi), Judi dan lain lain.
Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian).

Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa “Dimaafkan yang berlaku pd tawabi’ dan tidak pada lainnya” (Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).

b)            Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan. Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal menurut pandangan Syariah. Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).

6. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja

Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa persetujuan Pemegang kad.

Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak ‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.

7. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit

Ulama Fiqh telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa sebarang penangguhan, ia disebut “at-taqabud fil hal” dalam istilah Fiqh. Ia adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan syarat dan keperluan itu. Ini adalah kerana wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi (usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.
Persoalannya dalam isu Kad Kredit adalah : Adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC telah membuat dua ketetapan ; Iaitu yang lama yang yang baru . Pandangan lama (dalam sidangnya yang ke 9 pada April 1995) menyebut : “Proses terima serah “At-Taqabud” sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat”. Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu. Ia juga merupakan ketetapan dari Simposium Ekonomi Islam ke -12 anjuran Dallah al-Barakah pada 1996.

Pandangan baru mereka (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) ; mereka memfatwakannya sebagai HARAM  ( Berdasarkan keputusan nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 )

Sejajar dengan ini, saya menyarankan agar kita tidak mengambil mudah serta menjauhkan diri dari terjebak dalam perkara ini. Ini kerana kaedah Fiqh menyatakan ” Keluar dari khilaf adalah lebih diutamakan” . Maka hukumnya : HARAM.

8. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit

Pada kebiasaannya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini, maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut – sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh izin sekitar 2-3 minggu.
Disini jelas terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini. Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa syarat dalam Islam bagi pertukaran wang adalah At-Taqabud fil hal.

Hukumnya : HARAM - Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ . Ia menurut ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC dalam sidangnya yang ke 12 pada September 2000. Walau bagaimana pun ia dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang amat sangat.

9. Denda Penalti Disebabkan Oleh Lewat Langsaian Bil Wajib bagi Kredit Kad.

Di dalam syarat kontrak bagi ‘kad kredit terkandung bahawa pemegang kad akan menanggung denda akibat kelewatan melangsaikan bil wajib minimanya dalam tempoh izin (30 hari). Ianya sudah tentu dalam bentuk wang.

Hukumnya : HARAM - terdapat unsur Riba An-Nasiah (Riba Hutang) yang sangat dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur menzalimi manusia lain serta memakan harta manusia tanpa haq. Telah Ijma’ seluruh ulama muslim pengharaman riba ini.

Demikian Keputusan hasil persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998. Walau bagaimanapun terdapat keputusan berbeza dari persidangan Ekonomi Islam AL-BARAKAH ke 12 pada tahun 1996, yang memutuskan HARUS, tetapi jumlah denda itu mestilah digunakan untuk tujuan derma kebajikan.  Ia dibolehkan berdasarkan kelemahan kefahaman agama dan kesengajaan dalam melewatkan dalam melangsaikan Bil walaupun mampu. Demikian juga pandangan mazhab Maliki dan Syeikh Prof. Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Pandangan yang lebih kuat adalah HARAM.

10. Bunga @ Faedah Dikenakan bagi Memperbaharui Bil Bagi Kredit Kad

Didalam syarat kontrak ‘Kredit Kad’ terkandung bahawa pemegang yang tidak boleh melangsaikan bil secara sepenuhnya, maka bil yang berbaki tersebut akan dikenakan faedah.
Hukumnya : HARAM - ia adalah Syarat Riba yang dilarang di dalam Islam tanpa sebarang ragu-ragu. Demikian keputusan persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

11. Mengeluarkan Wang dengan Kad Kredit

Ia dianggap pemegang kad membuat pinjaman kepada Bank Pengeluar Kad secara langsung melalui ‘Auto Teller Machine’ bank pengeluar atau cawangannya atau melalui ATM Bank Lain (di kira sebagai wakil).

Hukumnya:

I. HARUS - Jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya. Ketika itu pemegang kad dianggap seolah-olah mengeluarkan wangnya sahaja. Jika diambil dari bank lain demikian juga hukumnya dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.

II. HARAM - Jika Bank Pengeluar mensyaratkan faedah atau bunga hasil pinjaman yang diberikan. Ia adalah ‘Riba al-Qurudh’. Kecuali jika pihak bank pemberi pinjaman hanya mengambil koskecil yang tetap diatas hasil khidmat pemprosesannya yang dibuatnya sahaja. Dan ketika itu, hukumnya adalah Harus, demikian qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia pada sidangnya ketiga pada 1986 M.

III. Jika Pemegang tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku overdraft) atau langsung tiada sebarang akaun, maka dianggap pengeluarannya itu adalah sebagai pinjamannya terhadap bank. dan semua hukum pinjaman (al-Qardh) di dalam Islam adalah terpakai ketika itu. Sebagaimana Kaedah: ‘Kullu Qardhin Jarra Naf’an Fahuwa Riba’ Setiap pinjaman yang mensyaratkan sebarang manfaat bagi pihak pemberi pinjaman adalah RIBA.

PERSOALAN DAN HURAIAN

Adakah harus seseorang muslim memohon Kad Kredit untuk penggunaan seharian atau untuk penggunaan sesuatu tujuan yang tertentu sedangkan ianya jelas mensyaratkan faedah bagi jumlah pinjaman yang perlu dibayar?

Sistem Kad Kredit Konvensional adalah mempunya unsur-unsur riba dan sepertimana yang kita sudah sedai maklum, unsur-unsur riba adalah haram disisi Islam. Ini adalah kerana ia menetapkan beberapa syarat bagi bayaran balik jumlah yang digunakan beserta dengan faedah, begitu juga jika para pengguna gagal melangsaikan dalam tempoh izin yang ditetapkan. Manakala, sistem kad kredit berbentuk islam (islamic) pula tidak banyak perbezaan dengan system kad kredit konvensional. Kebiasaannya, sistem kad kredit  islam tidak mengenakan sebarang yuran sebagai contohnya seperti yuran langganan, tambah nilai, yuran pembayaran balik dan yuran penggantian kad dan caj keuntungan dalam sistem Islam lebih tinggi daripada caj kewangan yang dikenakan dalam sistem konvensional.

Dalam banyak keadaan, berhutang menjadi salah satu amalan yang tidak dapat dielakkan. Samada berhutang dengan individu atau institusi kewangan, manusia sememangnya tidak dapat lari dari berhutang. Malahan ada yang berani berhutang dengan institusi tertentu seperti ‘ah long’ yang meletakkan kadar faedah yang tinggi jauh dari batasan akal sehingga akhirnya meletakkan diri dan keluarga dalam keadaan bahaya apabila menghadapi kesukaran untuk membayarnya semula.

Dengan ini ditegaskan bahawa, walaupun berhutang itu harus pada dasarnya tetapi ia adalah haram sekiranya bertujuan digunakan untuk perbuatan yang dilarang oleh Allah. Salah satu contoh diantara perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dalam tujuan berhutang ialah menggunakan wang yang dipinjam untuk bertaruh/berjudi. Sebagaimana yang kita sedia maklum, aktiviti bertaruh/berjudi adalah haram. Membelanjakan sebahagian wang dalam sebarang unsur perjudian dengan tujuan untuk meggandakannya adalah perbuatan yang salah sama sekali disisi agama Islam.

Aktiviti penggunaan kad kredit amat berleluasa di zaman metropolitan yang serba moden dan canggih ini. Seiring dengan aspek permintaan kemudahan teknologi dan sosial, kad kredit ini seolah-olah satu ‘permit/ akses’ untuk mendapatkan segala keperluan hidup.

Kini gerbang atau floodgate kad kredit telah dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk memilikinya. Kad kredit yang begitu eksklusif dan mewah suatu ketika dahulu, kini seolah-olah tidak bernilai lagi. Apatah lagi modus operandi permohonannya begitu mudah,  kita boleh memohonnya melalui khidmat pesanan ringkas, telefon, internet dan transaksinya juga boleh dilakukan secara faks sahaja. Keputusan dan status permohonan juga boleh diketahui dalam masa tidak sampai 24 jam. Begitu mudah dan  murah sekali kos permohonannya.

Akibatnya ramai di kalangan kita yang terpaksa naik turun mahkamah, harta disita dan dilelong dan lebih malang lagi dijatuhkan hukuman bankrap apabila gagal membayar hutang tunggakan kad kredit.

Secara khusus, kad kredit sebenarnya banyak membantu kita dalam proses pembelian atau pembayaran. Tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar mengetahui bagaimana cara sebenarnya menggunakan atau menguruskan perbelanjaan melalui kad hutang ini. Atau memang ada yang sengaja menjeratkan diri dengan menambahkan liabiliti atau tradisi hutang-piutang.

Mengikut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 15,000 kes muflis telah dicatatkan pada tahun 2005 dan jumlah tersebut telah menurun kepada 13,353 pada tahun 2006. Namun, setakat bulan Jun 2007, lebih 9,000 kes muflis telah dicatatkan, ini satu perningkatan yang agak membimbangkan. Isu hutang melalui kad kredit kalau tidak dibendung dari awal pasti akan menjadi barah. Lama-kelamaan ia akan menjadi lebih kritikal. Pada tahun 2005 saja, sebanyak 8% kes muflis yang telah dicatatkan terdiri dari golongan yang berumur kurang dari 30 tahun.

Sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai hutang tertunggak kad kredit sebanyak RM24.4 billion. Ini adalah satu jumlah yang banyak. Data juga menunjukkan lebih 10 juta kad kredit di Malaysia, hanya 30% daripada pemegang membayar baki penuh setiap bulan. Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang menggunakan kad kredit akan berbelanja 17% lebih daripada orang yang menggunakan tunai.

Manakala implikasi negatif daripada penyalahgunaan dan kurang disiplin aplikasi kad kredit menyebabkan pengguna terpaksa berhutang dan terus berhutang; hati tidak tenteram, hidup dalam keadaan keluh kesah, ketakutan dan bimbang, terpaksa menanggung hutang di sana sini apabila gagal melangsaikan bayaran minimum secara konsisten yang menyebabkan kadar riba yang lebih tinggi, kehidupan dan keluarga tidak terurus; rasuah dan salah guna kuasa berleluasa, prestasi kerja menurun, tidak bermotivasi serta kurang produktif dan sebagainya.

Apa yang jelas disini ialah penggunaan kad kredit banyak membawa keburukan dari kebaikan kepada seseorang individu. Apakah hukumnya melakukan perkara yang memberi kesan mudarat kepada diri sendiri dan keluarga secara umumnya? Hukumnya adalah ‘haram’. Namun begitu ianya adalah ‘harus’, jika seseorang itu ingin menggunakannya dalam keadaan darurat atau kecemasan untuk memudahkan urusan disaat-saat yang benar-benar terdesak sebagai contoh bagi membuat bayaran perubatan jika tiada sebarang sumber kewangan pada waktu itu dan jika berlakunya sebarang kemalangan yang tidak dapat dielakkan yang melibatkan kos dan bukanlah secara sewenang-wenangnya mengikut nafsu dan kehendak hati sahaja. 

No comments:

Post a Comment